berdosa aku kalau tidak menyampaikannya.....(blog dalam pembangunan)...contact us:019-6132045

Sunday, May 29, 2011

Kehidupan yang perlu diteruskan



NASNAN JAJULI
Saya dilahirkan pada 30 hb.June 1965. Bermula bersekolah di Sekolah Rendah Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor. Tingkatan 1 hingga tingkatan 3 bersekolah di Sekolah Menengah Dato' Mustaffa, Pasir Panjang. Seterusnya ditingkatan 4 dan 5 bersekolah di Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Kelang, Selangor. Saya menamatkan pengajian di Universiti Pertanian Malaysia kampus Serawak pada tahun 1986 dalam bidang pertanian. Waktu itu, waktu kegawatan ekonomi.

Lepasan siswazah memang sukar untuk mendapat pekerjaan, termasuklah saya. Bermacam jenis perniagaan yang saya ceburi, termasuklah pembuatan batik lukis tangan. Perusahaan ini memang lumayan dan menguntungkan. Saya sendiri sebenarnya tidak mempunyai asas melukis batik tetapi oleh kerana desakan kerja dan keinginan untuk hidup selesa, biarpun tiada pengalaman, tetapi dengan keinginan dan kesungguhan, sesuatu itu pasti akan berjaya.

Perusahaan pembuatan batik lukis tangan telah menjadikan saya seorang usahawan. Industri pembuatan batik membolehkan saya memegang wang yang banyak. Melalui keuntungan daripada batik, saya telah mengembangkan perniagaan mengimport kain putih dari negara China bagi kegunaan pembuatan batik. Sehinggakan saya pernah berkerjasama dengan Almarhum Sultan Selangor, DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, ketika berniaga cenderamata di Masjid Negeri Shah Alam. Perniagaan saya kebanyakannya diuruskan sendiri.

Apabila stok kain banyak, kualiti pembuatan akan semakin menurun. Pekerja mengutamakan kuantiti berbanding kualiti. Semakin banyak produk yang mereka hasilkan semakin banyaklah pendapatan yang akan mereka peroleh. Oleh kerana tugasan yang semakin bertambah, saya kurang mengawasi pembuatan batik. Sehingga banyak batik yang dihasilkan, tetapi tidak semuanya dapat dipasarkan. Rentetan daripada masaalahan ini, saya tercari-cari perniagaan apa yang dapat meminimakan pengawasan dan penggunaan tenaga kerja manusia.

Pada awal tahun 1990an, pasaran saham BSKL bergerak dengan rancak sekali. Seolah-olah orang yang tidak tahu menahu tentang saham juga boleh memperolehi keuntungan. Apa tidaknya, apabila sesebuah syarikat itu disenaraikan, nilai saham akan dibahagikan kepada tiga. Pembahagian adalah untuk syarikat, pegangan akan dimiliki oleh ahli lembaga pengarah syarikat dan kakitangannya. Pemberian (pink form) pula, ada kuota yang akan diberikan untuk syarikat bertaraf Sendirian Berhad. 

Pemberian secara cabutan adalah untuk setiap orang yang memohon, di mana permohonan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan setiap individu mempunyai satu peluang setiap kali syarikat baru disenaraikan. Apabila tiba waktu penyenaraian, mereka yang berjaya memegang saham akan merasa seperti mendapat durian runtuh. Untuk hari pertama sahaja setidak-tidaknya mereka sudah berjaya memperoleh keuntungan RM0.50 untuk setiap unit. Cuba anda bayangkan, setiap daripada mereka sekurang-kurangnya dapat memegang satu lot. Satu lot pula bersamaan dengan 1000 unit.

Kepada yang disenaraikan di bursa saham pula, mereka seperti mengutip wang yang bertaburan. Beli sahaja mana-mana saham yang disenaraikan, sudah pasti akan mendapat keuntungan setidak-tidaknya selepas 3 hari. Pembelian juga boleh dilakukan secara kontra, iaitu apabila mempunyai modal sebanyak RM10,000 (Ringgit Malaysia sepuluh ribu), kita dibenarkan membeli saham sehingga nilai 3 kali ganda (RM30,000.00). Urusniaga secara kontra diberi tempoh 7 hari bagi setiap pembelian untuk mencari keuntungan.

Di sinilah bermulanya penglibatan saya dalam perniagaan pasaran saham BSKL. Ketika itu, saya boleh membeli saham dipasaran secara kontra dengan nilai lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta). Memang tidak dinafikan, cukup mudah untuk mencari keuntungan. Sehinggakan industri pembuatan batik yang saya usahakan mula dikurangkan. Saya merasa seperti ingin berhenti berkecimpung dalam industri pembuatan batik. Pada waktu tersebut, saya juga merasa yang saya telah menerima satu perniagaan yang boleh saya lakukan sendiri tanpa melibatkan orang lain.

Apabila saya memasuki pasaran BSKL, saya tidak pernah merasakan semudah ini untuk mendapatkan keuntungan, berlainan dengan perniagaan yang telah saya lakukan sebelum ini. Sehingga pada satu tahap, wang simpanan saya meningkat dan saya juga mula menambah aset untuk diri sendiri. Walaupun masih berhutang dengan bank, saya telah mempunyai kedai, rumah, 5 buah kereta dan juga aset-aset yang lain. Itu semua saya perolehi daripada keuntungan membuat pelaburan dalam urusniaga saham BSKL. Sehingga pada satu masa, saya didatangi oleh seorang broker pasaran hadapan komoditi.

Peringkat awal saya memang langsung tidak berminat atau berkenan dengan urusniaga saham komoditi ini. Sikap broker ini memang tidak ubah seperti orang yang menjual insurans. Dia memang tidak mudah berputus asa. Banyak cara yang dia lakukan semata-mata untuk meyakinkan saya. Contohnya, untuk memperoleh keuntungan dalam pasaran hadapan, adalah mudah dengan menggunakan teknikal MACD. Apabila isyarat dalam teknikal MACD bersilang, ia memberi makna untuk kita jual ataupun beli.

Dia juga menerangkan kepada saya bagaimana untuk mendapatkan keuntungan dalam pasaran saham hadapan. Jika sekadar mencari keuntungan 10% dengan modal yang dikeluarkan dalam tempoh sebulan adalah satu perkara yang mudah. Katanya lagi, pasaran hadapan boleh mencatat keuntungan tidak kira apabila harga pasaran itu naik atau turun. Ini bermakna jika harga sedang naik, kita boleh mendapat keuntungan dan sekiranya harga turun pula, kita juga boleh mendapat keuntungan. Setelah melakukan pelbagai cara, akhirnya broker tersebut membawa kakak dan abang ipar saya bagi tujuan memujuk untuk saya menceburi bidang saham pasaran hadapan. Akhirnya saya akur. Dengan modal RM20,000 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Ribu) sebagai permulaan, saya telah membuka akaun dan memulakan urusniaga.

Akaun pasaran hadapan pada waktu itu diuruskan sendiri oleh broker tersebut. Daripada tanggapan saya, selepas sebulan saya akan memperoleh keuntungan sebanyak 10% dari modal RM20,000 yang saya keluarkan. Tetapi apa yang mengejutkan saya adalah selepas seminggu, penyata kewangan yang saya perolehi mencatatkan sesuatu yang luar biasa. Modal saya bukan bertambah tetapi hanya berbaki sebanyak RM785.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Ratus Lapan Puluh Lima) dalam tempoh seminggu! Dahsyat sungguh!

Broker tersebut datang bersama kakak dan abang ipar, kemudian meminta untuk saya menambah modal. Pada waktu itu, kakak dan abang ipar hanya mendiamkan diri sahaja. Membisu tanpa sepatah kata. Cuba bayangkan waktu itu. Broker tersebut memang tiada perasaan malu sedikit pun. Beliau tidak mengotakan janji beliau. Waktu itu urusniaga pasaran hadapan, pelabur tidak terus dengan pihak syarikat. Pelabur mesti melalui broker yang dilantik dan broker ini mesti mempunyai lesen. Kebanyakan urusan jual beli akan dilakukan oleh broker tersebut.

Peristiwa kerugian yang saya alami ini adalah titik tolak bagi saya mula menceburkan diri dalam pasaran hadapan. Lesen yang saya gunakan adalah daripada broker tersebut. Manakala urusan urusniaga, saya lakukan sendiri. Saya terpaksa berulang alik dari rumah ke syarikat urusniaga setiap hari apabila pasaran dibuka. Jarak perjalanan dari rumah ke syarikat urusniaga pasaran hadapan (Philips Komodity) adalah sejauh 230 km (pergi dan balik). Syarikat tersebut terletak di Kuala Lumpur dan saya pula tinggal di Pasir Panjang, Sabak Bernam.

Dengan menambah modal sebanyak RM20,000 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Ribu), saya memulakan kembali urusniaga pasaran hadapan komoditi luar negara, iaitu komoditi kapas. Pasaran hadapan luar negara menjalankan urusniaga pada sebelah malam di Malaysia (siang bagi negara tersebut), biasanya bermula pada pukul 10 malam dan berakhir pada jam 2 pagi setiap hari pada waktu kerja (Isnin-Jumaat).

Minggu pertama, saya sudah memperolehi keuntungan sebanyak RM5,000 (Ringgit Malaysia Lima Ribu). Selepas seminggu, ayah pula terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya. Ayah pergi menghadap Ilahi. Saya dan ayah sangat rapat. Ayah sangat menyayangi saya. Kehilangan ayah secara mengejut, membuatkan fikiran saya selalu teringat kepadanya. Keadaan ini berlarutan sehingga saya tidak dapat fokus dalam apa jua yang saya lakukan. Bermula di sini, saya mengalami kerugian yang sangat banyak dalam urusniaga saham pasaran hadapan.

Pada suatu hari, saya masuk pasaran yang cukup aktif, iaitu kaunter kopi. Satu lot kaunter ini bernilai RM15,000 (Ringgit Malaysia Lima Belas Ribu) dan satu mata bernilai RM1,000 (Ringgit Malaysia Satu Ribu). Malam itu, saya masuk pasaran sehingga 10 lot dengan posisi beli. Malangnya, 5 hari berturut-turut berlaku limit down bagi pasaran tersebut. Ini bermakna harga buka hari tersebut terus jatuh 100 mata dan tidak bergerak. Pelabur tidak boleh memasuki pasaran disebabkan tiada pembeli.

Apa yang boleh saya lakukan, hanya berdoa agar pasaran akan naik semula. Jika saya keluar pasaran, saya terpaksa terima kerugian yang banyak. Saya membiarkannya sehingga keesokan hari, manalah tahu ia mungkin dibuka dengan harga naik semula. Sayangnya keesokan harinya juga berlaku hal sedemikian sehingga 5 hari berturut-turut. Pada hari kedua, telah ada “margin call” (perlu tambah modal) dan pada hari tersebut juga, disebabkan gagal menambah modal, syarikat terpaksa “cut loss” (dikeluarkan dari pasaran).

Saya mengalami kerugian yang terlalu banyak. Tuhan sahaja yang mengetahui perasaan saya pada saat itu. Selepas peristiwa itu, saya mula melakukan pencairan aset yang ada, bertujuan untuk memulihkan kembali ekonomi diri. Sayangnya, konsentrasi dan disiplin saya sudah bercelaru. Akhirnya kedudukan saya telah jatuh di bawah paras miskin tegar. Sehingga saya hampir putus asa. Bahkan, hampir mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Sebut saja saham. Pasti ramai yang membayangkan ia adalah satu mimpi ngeri. Satu mimpi ngeri bagi individu yang telah mengalami kerugian akibat berurusniaga dengan saham. Bagi yang tidak pernah terlibat dengan urusniaga saham pula, mereka boleh sahaja mengulas tentang betapa teruk dan bahayanya saham atau sebaliknya. Nak main saham, jangan! Tengok sipulan tu, sekarang ni dah jadi papa kedana. Anak entah ke mana, diri sendiri pun tidak terurus.

Saya telah mengalami kerugian sebanyak RM1.2 juta (Ringgit Malaysia Satu Juta Dua Ratus Ribu). Pada masa kejatuhan itu, saya tidak dapat menggambarkan betapa peritnya kehidupan yang harus saya lalui. Seolah-olah dunia ini gelap, sudah tidak ada harapan untuk  meneruskan kehidupan.

Jika sebelum ini saya mepunyai lima buah kereta beserta dengan pemandu, rumah kedai dan rumah kediaman yang tersergam indah, kini semua itu sudah lenyap, sudah berlalu. Segala aset yang saya miliki juga terpaksa dicairkan, semata-mata untuk memulihkan keadaan namun semuanya sia-sia belaka. Seumpama tikus membaiki labu. Harapan untuk hidup semakin kabur. Seolah-olah tiada sebab lagi untuk  meneruskan hidup. “Astaghfirullahal’azim... biarlah aku mati, asalkan jangan bunuh diri”, jauh di sudut hati berkata-kata.

Ada banyak kereta, tetapi semuanya belum habis dibayar. Ada rumah yang selesa, juga belum habis dibayar. Siapa yang tidak sayang, itulah lambang kejayaan, itulah penghibur hati, itulah jaminan untuk hari tua. Namun itulah yang perlu dijual semula untuk mendapat wang walaupun hasil jualan yang diterima tidak sepatutnya. Terlalu murah.

Kereta sport, walaupun sudah dibayar lebih daripada RM60,000 (Ringgit Malaysia Enam Puluh Ribu), hasil daripada jualannya saya hanya mendapat bakinya iaitu RM2,000 (Ringgit Malaysia Dua Ribu) sahaja, rumah yang dibeli dan diubah suai bernilai hampir RM100,000 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu) juga dijual dengan harga yang sangat murah. Begitulah nasib saya ketika itu...jika saya tak jual, saya belum habis bayar. Jika tidak dijual, barang-barang pasti akan ditarik juga oleh pihak bank dan dilelong lebih murah. Saya juga tidak mahu menjadi seorang yang muflis.

Biarlah saya tidak mempunyai apa-apa, tetapi saya tidak sanggup menerima gelaran sebagai seorang “muflis”. Biarlah saya mati, tetapi bukan mati kerana muflis.

Terlampau dahsyat jika hendak digambarkan. Ada yang sudah mempunyai rumah, rumah digadai sehingga orang rumah tidak tahu, rumah yang diduduki itu bukan lagi rumah miliknya, tetapi adalah rumah sewa. Ada juga yang terlampau putus asa, sehingga sudah tidak nampak jalan keluar. Bagi mereka yang tidak kuat agamanya dan ingin mengambil jalan mudah pasti mati yang akan menjadi jalan penyelesaian.

Tidak kurang juga apabila jatuh saham, ada yang menjadi sasau atau boleh terus menjadi gila. Sehinggakan ada yang ditemui menaiki basikal, pergi ke stesyen minyak untuk mengisi petrol pada basikalnya. Ada juga yang bercakap sendiri kononnya membuat ulasan bacaan teknikal saham dan sebagainya.

Ketika itu, saya mempunyai seorang isteri dan empat orang anak. Tiga lelaki dan seorang perempuan. Isteri saya adalah seorang guru lepasan siswazah. Biarpun dia seorang guru, disebabkan perniagaan saya hancur, gaji yang diperolehinya juga tidak mencukupi untuk menampung tanggungan hidup ini. Malah, kehidupan kami juga dibebani dengan hutang, kad kredit, hutang koperasi dan hutang bank.

Saya mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan keadaan dengan mencari sumber kewangan, termasuklah dengan meminjam wang daripada “along”. Namun usaha yang saya lakukan masih tidak menemui kejayaan, malah bertambah buntu. Duit yang diperolehi seumpama menambah garam di lautan. Usaha yang tidak memberi makna. Apa yang dibuat semua tidak menjadi. Disebabkan fikiran tidak tenang, semua keputusan yang dibuat tidak rasional. Saya tidak mahu kehilangan keluarga yang saya sayangi. Saya tidak mahu berpisah dengan isteri dan saya tidak mahu dipisahkan dengan anak-anak.

Pada masa itu, duit tiada, apalagi kereta. Kenderaan yang ada pada hanyalah motosikal kepunyaan arwah orang tua saya. Itulah kenderaan yang saya gunakan untuk ke mana-mana pada saat itu. Kebetulan ada sebuah rumah guru yang dikosongkan dan memandangkan isteri saya adalah seorang guru, dapatlah kami memohon rumah tersebut. Alhamdulillah, permohonan kami lulus. Dapatlah kami anak beranak tinggal di sana. Barang-barang juga kami pindahkan ke rumah menggunakan “gerabak” yang ditarik menggunakan motosikal. Dalam keadaan begini, saya hanya boleh menyelamatkan keluarga, isteri dan anak-anak…

Itulah…masa senang tidak mahu beringat”. Terdapat juga masyarakat yang mengatakan sedemikian kepada saya. Siapa yang menginginkan semua ini. Ketika itu umur saya 29 tahun. Saya jatuh kerana saya tidak mempunyai pengalaman. Masyarakat menghina dan menghukum saya. Jika orang yang ditangkap disebabkan mengedar dadah atau menagih dadah, masyarakat mungkin akan menjauhkan diri. Jika orang yang ditangkap atas kesalahan berzina atau merogol, masyarakat akan mengutuk pada peringkat awal. Bagi saya yang dianggap sebagai seorang ahli korporat dahulunya, masyarakat sentiasa mengutuk dan berbagai tohmahan dilemparkan.

Bukan seorang, bukan dua tetapi semuanya beranggapan negatif terhadap saya. Pergaulan dan percakapan, sudah tiada lagi nampak kemesraannya dan seperti tiada lagi keselesaan. Mereka semua melihat saya dengan pandangan yang sinis…semua mula menjauhkan diri. Mungkin mereka takut saya meminta-minta sesuatu daripada mereka. Saya tidak menyalahkan mereka, tetapi itulah hakikat keadaan waktu itu.

Lagi parah, apabila saya mendengar orang mengutuk dan mengata serta menfitnah, pada hakikatnya mereka tidak mengenali siapa saya yang sebenarnya. Hati dan perasaan saya begitu hancur seperti kaca yang jatuh berkecai. Hancur berkecai. Apa tidaknya, dengan kejatuhan tersebut mereka membuat pelbagai andaian yang tidak benar, ada yang berpendapat mungkin sebelum ini saya berniaga menggunakan duit haram, mungkin perniagaan haram, perniagaan panas, menipu orang, itulah balasan bagi orang yang tidak betul.

Pada saat itu tiada siapa yang percaya dengan cakap dan pandangan saya kecuali isteri dan anak-anak. Masyarakat tidak faham, tetapi mereka tetap terus menghukum saya dan juga keluarga. Hinanya seorang korporat yang jatuh teruk. Sangat dahsyat.

Saya hanya manusia biasa. Punya hati dan perasaan. Saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi saya tidak melakukan dosa-dosa besar seperti yang dilarang dalam agama Islam. Kenapa mereka perlu kutuk saya? Kenapa mereka menghina saya sebegitu? Kenapa? Saya tidak pernah mengganggu dan menyakiti hati mereka. Itulah hakikatnya. Kenapa ini harus berlaku kepada saya, kenapa bukan mereka?   Mungkin mereka akan tahu apa yang sedang saya rasakan sekiranya mereka berada dalam situasi saya.

Saya berniaga. Saya main saham. Memang saya tiada pengalaman. Saya daripada keluarga petani, ibu bapa saya orang susah. Adik beradik ramai. Ibubapa mendidik saya dan mengharap untuk saya berjaya dalam pelajaran. “Belajar bersungguh-sungguh, masuk universiti. Bila keluar, cerah masa depan”. Itulah pesanan ibu bapa saya. Saya dah belajar, saya seorang lepasan universiti. Tahun 1986 saya tamat pengajian. Masa itu negara masih dalam keadaan kegawatan ekonomi. Masa itu jugalah, ramai siswazah yang tidak mendapat pekerjaan, termasuklah saya. Adakah ini juga salah saya? Saya perlu teruskan kehidupan. Saya berniaga dan saya berurusniaga dalam saham, untuk mencari rezeki, untuk meneruskan kehidupan seperti insan yang lain.

Keadaan hidup saya cukup bergelora. Walaupun fizikal nampak tenang tetapi hati dan perasaan sentiasa membara. Saya sudah tidak takut akan kematian. Kalaulah pada masa itu ada yang menjanjikan satu perolehan yang banyak walaupun berisiko tinggi, mungkin saya akan melakukannya. “Kenapalah tidak ada wanita tua yang kaya raya hendak mengahwini saya waktu itu? Jika ada, tentu selesai masalah saya...”, bisik hati saya. Jangankan wanita kaya, wanita yang gila pun pada masa itu memandang saya hanya dengan sebelah mata sahaja. Sangat perit tekanan yang diterima pada ketika itu, aduh malangnya hidupku ini...

Masalah semakin hari semakin bertambah. Tidak nampak satu pun jalan penyelesaian. Keadaan bukan beransur baik tetapi bertambah kusut. Semasa saya berurusniaga saham, apabila kawan-kawan melihat saya membuat keuntungan, mereka tumpang gembira. Saham ini memanglah risikonya tinggi. Mereka pun faham. Awalnya mereka beritahu, untung rugi itu biasa. Apabila saya membuat keuntungan mereka ketawa, mereka memuji saya.

“Kamu memang pandai Nan!” Keuntungan sama-sama kita makan. Apabila saya jatuh, mengalami kerugian, mereka mula datang. Menuntut modal mereka. Jika peringkat awal, untung sama-sama untung dan rugi sama-sama tanggung. Tapi berbeza pula hari ini. Modal mereka yang sudah hancur dianggap sebagai hutang saya kepada mereka. Mereka tidak mempersoalkan pula untung yang pernah mereka rasa.

Jika setakat menuntut wang mereka, saya tidak kisah, tetapi mereka sanggup menghantar kaki pukul untuk mengancam saya. Berbagai-bagai cara mereka lakukan untuk menambah tekanan saya. Bayangkanlah pada masa itu. Saya sudah tidak mempunyai apa-apa. Jika saya ditumbuk, dipukul atau dibunuh sekalipun memang saya tidak boleh buat apa-apa. Saya hanya berserah kepada Allah SWT. Saya yakin kepada Allah, Allah tidak akan menguji manusia itu, sekiranya manusia itu tidak tahan untuk diuji.


Peringkat awal, mereka itulah sahabat-sahabat saya. Kawan untuk bersembang, kawan untuk berkongsi kegembiraan, suka dan tawa. Kadang kala apabila mereka memerlukan pertolongan yang berbentuk kewangan, tidak pernah menjadi keberatan kepada saya. Ini kerana mereka itu sahabat bagi saya.

Apabila saya sudah tidak mempunyai harta dan wang ringgit, segalanya berbeza. Berubah. Bukan setakat kepada saya, mereka juga berjumpa dengan ibu saya yang sudah berusia. Kata-kata yang kesat dan berbagai-bagai lagi keluar daripada mulut mereka ditujukan kepada ibu. Sanggup mereka buat saya begini. Cukup sedih bagi saya, sewaktu melihat keadaan ibu. Bukan setakat menerima semburan-semburan perkataan yang kesat daripada mereka, wang ringgit dan barang kemas yang ada pada ibu, juga ibu berikan kepada mereka. Siapa mereka? 

Mereka itulah kawan saya pada awalnya. Tidak cukup setakat itu, mereka menghantar kaki pukul sekali lagi. Pada masa itu, mereka datang sekitar jam 3 pagi ke rumah. Tiga orang lelaki berbadan tegap menaiki proton wira berwarna hitam mengetuk pintu rumah. Saya keluar. Mereka mengugut dan memasukkan saya ke dalam kereta. Mereka membawa saya keluar.

Ketika itu, saya hanya pasrah kepada Allah. Saya sangka mereka ingin membunuh saya, tetapi rupa-rupanya mereka membawa saya ke rumah ibu. Macam-macam yang mereka katakan kepada ibu. Ibu menangis. Terasa sebak yang amat sangat. Sangat sukar untuk menahan perasaan pada waktu itu.

Akhirnya, ibu mengeluarkan geran tanah tapak rumah dan berikannya kepada mereka. Sungguh besar cubaan saya ketika itu. Apakah itu cubaan atau balasan? Sekiranya balasan, apa salah atau silap yang telah saya lakukan selama ini? Kasihan ibu. Maafkan aku ibu!

Jika sebelum waktu kejatuhan, orang-orang sangat menghormati saya. Orang hormat kepada isteri dan keluarga saya. Tetapi hari ini, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Jika dulu isteri saya bekerja dengan menggunakan kereta yang cantik, tetapi kini hanyalah bermotosikal.

Rakan sekerja memandang sinis kepada isteri saya. Alhamdulillah. Allah mengurniakan saya isteri yang cukup tabah. Dia meneruskan kehidupan sehariannya seperti biasa. Saya juga tidak menyangka isteri saya juga akan mendapat tekanan yang tidak kurang hebatnya. Bukan sahaja mendapat tekanan daripada rakan sekerja, tetapi lebih daripada itu.

Sebelum ini, ada sebuah kereta yang saya jual kepada orang lain, yang masih atas nama isteri saya. Disebabkan kelewatan dua bulan tidak membayar ansuran kereta kepada bank, pihak bank telah datang ke sekolah tempat isteri saya bekerja dan memberitahu masalah itu kepada pihak sekolah. Walhal, orang lain tiga bulan tidak membayarnya tidak pula mendapat tekanan seperti ini. Semuanya seperti sudah berkomplot untuk memberi kami tekanan demi tekanan.

Tidak cukup dengan itu, sewaktu saya tiada, mereka yang saya anggap kawan telah memberi tekanan mental kepada isteri. Mereka mengatakan saya telah menduakan isteri. Saya ada perempuan lain dan saya telah melakukan bermacam-macam maksiat dan dosa. Hati isteri mana yang tidak hancur mendengar kawan suami sendiri mengatakan perkara sedemikian. Bergegar juga hubungan kekeluargaan kami ketika itu. Mereka berusaha agar hubungan saya dan isteri akan runtuh atau berpisah.

Saya terus berdoa kepada Allah. “Cukuplah. Hambamu ini sudah tidak tahan lagi dengan dugaan yang Kau berikan”. Satu lagi musibah menimpa kami apabila saya dan isteri terpaksa ke mahkamah disebabkan menjual sebuah van sebelum ini tetapi tidak menukar nama. Apabila van ditarik oleh pihak bank dan dilelong dengan harga yang murah, baki pinjaman terpaksa juga saya selesaikan. Sudahlah kenderaan tersebut tidak dapat saya gunakan tetapi kena membayarnya pula. Nasib..nasib.. Apabila saya suarakan perkara ini kepada individu yang membeli van kami, dia hanya berdiam diri. Jika selama ini saya hanya menonton di televisyen kes-kes dan isu di mahkhamah, tetapi hari ini sayalah pelakonnya bersama isteri. Cuma tidak disiarkan di televisyen sahaja. Isteri…oh…isteri…tahniah kerana kau bersama-samaku menanganinya…

Pada suatu ketika, saya merasa sudah tidak tahan lagi dengan tekanan seperti ini. Semakin lama semakin hebat tekanan yang melanda. Saya tidak ada pengalaman dan tidak tahu di mana dan dengan siapa untuk mengadu atau meluahkan perasaan. Saya tidak ada sesiapa, melainkan isteri. Dia juga tidak ada pengalaman menghadapi situasi seperti ini. Apabila kita tiada wang, tiada harta, kita lemah, orang akan pijak kita kerana mereka menganggap kita tidak mampu untuk melawan. Masa inilah mereka mengambil kesempatan di atas setiap kekurangan dan kelemahan kita.

Hari demi hari, saya tetap didatangi oleh kawan-kawan lama yang masih membuat kacau dalam hidup saya. Mereka terus mengeluarkan kata-kata kesat. Waktu itu anak-anak dan isteri berada di sisi saya. Pada satu tahap, saya hilang sabar. Saya telah mencapai sebilah parang. Saya nekad! Mereka terkejut dan itu jelas kelihatan pada raut wajah hina mereka. Saya seperti seekor harimau yang ingin menerkam mangsanya. Lintang-pukang mereka lari dan terus beredar dari rumah. Sejak kejadian tersebut, tekanan-tekanan yang datang mulai reda sedikit.

Kehidupan perlu diteruskan, tanggungjawab perlu dilaksanakan. Anak-anak perlu makan. Tekanan reda sementara. Kerja apa yang saya boleh lakukan untuk mencari duit? Saya tidak nampak sumber yang boleh mendatangkan duit. Saya mengambil upah menabur baja untuk sawah padi dan kelapa sawit. Hidup kami pada ketika itu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Walaupun telah berusaha, pendapatan tetap tidak mencukupi untuk perbelanjaan kami sekeluarga. Saya cuba mengambil sub-kontrak pembersihan kawasan pembinaan pencawang TNB di Kuala Kelawang, Negeri Sembilan. Saya telah melaksanakan yang terbaik, tetapi bayarannya amat mengecewakan. Saya betul-betul kecewa kali ini. Pada masa itu, saya menumpang di rumah adik saya di Klang. Dia tinggal di kuarters pekerja kerajaan. Saya tinggal di bilik yang bersebelahan dengan dapur. Jelas kelihatan di bahagian luar bilik terdapat sepohon pokok kayu ara.

Malam itu, saya tidak dapat tidur dengan nyenyak. Setiap kali tertidur, di antara lima hingga sepuluh minit mesti terjaga. Saya dapat rasakan yang ada makhluk yang asyik mengganggu. Sehinggakan saya terjatuh daripada katil. “Kalau nak tidur, tidurlah jelah. Janganlah kacau aku pula!”. Bisik hati saya ketika itu. Awal pagi lagi saya telah keluar dari rumah tersebut. Saya duduk di tangga surau tidak jauh dari rumah. Kedudukan surau itu berhampiran Sungai Kelang.

Fikiran saya sangat bercelaru. Hubungan saya dengan manusia sudah tidak baik, sehingga jin dan syaitan juga seperti membenci saya. Termenung saya sambil memikirkannya. Saya tidak perasan pula gelagat saya ketika itu diperhatikan oleh adik saya.

“Bang, saya ada kenal dengan orang ni. Seorang ‘pak kiyae’ ”, katanya. Pak Kiyae adalah seorang yang dianggap warak dalam agama, berasal dari Indonesia dan khidmatnya selalu digunakan oleh Almarhum Sultan Selangor. Atas desakan dan pujukannya, saya ikut sajalah. Pada saya, saya tak sakit. Cuma saya tak ada duit dan tidak nampak punca duit. Walau bagaimanapun saya tetap bersyukur atas nasihat pak guru tersebut.

Kau ni dah teruk. Allah menguji kau. Ujian itu bukan hanya kepada kau, tetapi termasuk keluarga kau. Apa yang kau dah hilang, Allah akan ganti tiga kali ganda”. Dengan kata-kata itu, ia serba sedikit telah memberi satu keyakinan dalam diri saya, walaupun saya sendiri tak pasti kebenaran kata-kata tersebut.

Nama tok guru atau kiyae itu adalah Kiyae Manap. Sekarang beliau telah pun pergi menghadap Ilahi. Pada masa itu, beliau tinggal di kampung Sungai Kandis, Kelang. Beliau adalah seorang kiyae yang memang agak terkenal kerana ketika saya sampai ke rumahnya, memang ramai orang yang datang untuk mencuba khidmatnya juga. Tetapi saya sangat beruntung kerana adik saya adalah kenalannya, jadi saya dan adik dipanggil untuk duduk di satu ruang yang agak jauh daripada tetamu lain.

Tanpa banyak bercakap, dia membuka sebuah Al-Quran yang mempunyai tafsiran. Surah Nabi Luth. Dia mengarahkan saya untuk membaca surah tersebut beserta dengan pengertiannya. Selesai membacanya, dia bertanya kepada saya. “Awak faham apa yang awak baca?” Pertanyaan itu keluar dari bibirnya. “Pak Kiyae, apa yang saya baca tadi dan pengertiannya, setakat itulah saja yang saya faham”. Saya menjawab. “Berapa banyak yang engkau telah rugi?” Persoalannya ditujukan kepada saya.

“Lebih satu juta Pak Kiyae…” jawab saya. “Kau akan diuji bukan sahaja kehabisan duit, malah keluarga kau sendiri akan diuji”. Aku diam. Memang  aku akui, tanpa dia menyatakannya, memang aku sudah melaluinya.“ Tapi…” sambung Pak Kiyae itu lagi. “Kau akan diganti dengan tiga kali ganda daripada apa yang kau telah hilang”, kata-kata itu seperti satu sentakan kepada diri saya. Seolah-olah jiwa saya merasa bebas bagaikan terbang.

Saya dimandikan dengan air bunga. Saya terpaksa berpuasa daripada makan makanan yang bernyawa selama tujuh hari, sebagai satu proses pemutihan.  Saya dibekalkan dengan amalan-amalan seperti wirid dan ayat-ayat Al-Quran. Wirid yang diberikan terlalu panjang untuk saya amalkan pada setiap hari. Jika diamalkan bermula selepas sembahyang subuh, ia akan berakhir dalam lingkungan jam sembilan atau sepuluh pagi. Memang bukan senang untuk jadi senang.

Ketika itu, saya masih melakukan kerja-kerja merintis talian TNB di Kuala Kelawang, Negeri Sembilan. Saya membuat laluan bagi pembinaan talian menara TNB. Memang banyak kayu balak yang saya tebang beranggaran lebih daripada 1000 tan. Mungkin inilah rezeki saya. Setelah pokok habis di tebang, saya memohon permit untuk mengeluarkan kayu dari Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan Melaka. Namun permohonan saya gagal. Akhirnya kayu tadi terbiar begitu sahaja. Sayang..sayang..

Saya disediakan oleh kontraktor sebuah kenderaan pacuan empat roda. Tayarnya  sudah botak, bunga tayarnya sudah licin. Lima orang pekerja asing warga Indonesia bekerja di sana tanpa permit. Peralatan seperti mesin gergaji, parang, set memasak, plastik biru (sebagai khemah) dan makanan disediakan.

Ketika itu, perasaan takut semasa berada di hutan tidak timbul sama sekali. Kawasan tersebut merupakan hutan dara dan berbukit bakau. Waktu yang mencemaskan adalah ketika hujan turun. Bukan takut kepada hantu atau syaitan, tetapi takut membawa kenderaan menuruni bukit. Jalan licin. Tayar  pula botak. Kenderaan menggelongsor, hampir tidak dapat dikawal. Pendek kata, jika dibandingkan dengan pengembaraan yang biasa dibuat oleh “camel-trophy”, rasanya apa yang saya buat lebih mencabar dan lebih hebat.  

Pernah pada satu malam, saya memandu di tengah hutan pada jam 11 malam seorang diri. Secara tiba-tiba kenderaan saya tidak dapat bergerak disebabkan tayarnya terbenam ke dalam tanah yang berlumpur. Saya cuba sedaya upaya untuk menggerakkan kereta, tetapi akhirnya “clath-plate” kereta menjadi hangit dan tidak boleh bergerak langsung. Apa yang saya boleh buat pada masa itu adalah menutup enjin dan tingkap kereta dan cuba untuk tidur. Kalaulah hari ini ada yang sanggup memberi saya RM10,000 sekalipun untuk mengulangi peristiwa itu, saya tidak mungkin akan melakukannya. Tidak mungkin!

Mengikut kepercayaan orang tua-tua, kawasan hutan adalah kawasan yang tidak boleh dibuat main-main juga kawasan larangan. Ada satu ketika apabila saya hendak pulang ke kampung, seorang pekerja saya arahkan untuk mendirikan khemah di puncak bukit. Manakala empat orang lagi meneruskan kerja-kerja pembersihan, yang tidak jauh dari khemah yang didirikan.

Pada keesokan harinya apabila saya sampai. Pekerja-pekerja berkumpul tetapi masih tidak memulakan tugas mereka. Rupa-rupanya pada malam itu, empat orang yang ditugaskan melakukan kerja pembersihan tidak dapat mencari tapak khemah yang didirikan. Maknanya mereka semalaman tidur di hutan dan langsung tidak makan. Manakala yang mendirikan khemah pula ketakutan apabila dia keseorangan dan khemahnya dikelilingi oleh babi hutan.

Ada satu peristiwa luar biasa semasa saya melakukan penebangan pokok “danger tree”. Pokok ini memang besar. Anggaran besarnya pokok itu adalah kira-kira lima atau enam peluk manusia. Dari pagi hingga ke petang, pokok yang ditebang tidak tumbang-tumbang. Masuk sahaja waktu Asar dan kedengaran suara azan dari kampung, tiba-tiba pokok itu tumbang. Disebabkan pokok itu tumbang secara tiba-tiba, salah seorang pekerja tidak sempat mengelak. Dia dihempap pokok tersebut.  Aduh!

Saya memerhatikan dari jauh. Perasaan saya agak cemas. Perkara yang bermain di dalam fikiran saya adalah sama ada membuat laporan polis atau menanam saja mayat pekerja asing yang tidak mempunyai permit itu. Saya berasa sangat lega apabila melihat tubuh pekerja tersebut masih bergerak. Saya dan pekerja-pekerja lain berusaha untuk mengorek tanah di bawah badannya sepantas yang mungkin bagi mengeluarkan pekerja tadi. Alhamdulillah dia selamat.

Biasanya, bekalan makanan akan dihantar oleh pihak kontraktor seminggu sekali. Minggu itu, bekalan makanan yang dihantar agak lewat dan yang tinggal hanya beras, kicap dan garam. Telur, sardin dan ikan bilis semuanya habis. Kerja-kerja penebangan pokok masih juga terus dijalankan. Kebetulan hari itu, kami bertugas untuk menebang pokok yang berlubang. Apabila pokok itu tumbang, keluarlah seekor tenggiling dari lubang tersebut. Saya mengarahkan pekerja untuk menyembelih tenggiling tersebut. Biasalah kalau sudah lapar, apa yang di depan mata pasti nampak menyelerakan. “Pak, saya takut. Tak berani…”, kata pekerja Indonesia tersebut. “Punyalah teruk pekerja Indonesia ini, dahlah tak ada makanan, penakut pula”.

Sebenarnya saya juga takut, takut tenggiling itu menggulung tangan saya. Boleh putus dibuatnya. Apa yang saya buat ketika itu ialah menghidupkan mesin gergaji dan  menyembelihnya menggunakan mesin tersebut. Apabila leher tenggiling hampir putus, barulah menggunakan parang untuk menyembelihnya. Saya cukup takut  melihat kaki tenggiling kerana ia kelihatan seperti kaki bayi dan kukunya yang panjang dan melengkuk, bila teringat isteri dirumah tengah mengandung anak yang kelima baru 4bulan kandungan.

Perasaan takut dan risau yang amat sangat. Risau dan takut bayi yang dilahirkan kakinya nanti akan seperti kaki tenggiling. Alhamdulillah. Takut dan risau itu akhirnya hilang apabila anak yang lahir dalam keadaan normal seperti bayi yang lain.

Saya bekerja untuk mencari duit. Keluarga di rumah perlukan duit, untuk makan, belanja anak sekolah, bil air dan bil elektrik. Semuanya itu  perlu dibayar dan menggunakan duit. Perasaan hampa itu timbul apabila saya meminta gaji daripada kontraktor tetapi tidak diendahkann. Hampir empat bulan, saya  bekerja dihutan dan disebabkan gaji, akhirnya berhenti kerja dan pulang ke kampong dengan menumpang kereta pegawai TNB yang kebetulan ingin pergi ke Sabak Bernam.

Sebelum masuk waktu solat maghrib, isteri seperti ingin menyuarakan sesuatu. Melihat raut wajahnya seperti ada sesuatu yang ingin dibicarakannya tetapi sukar untuk dia luahkan. Sebenarnya ketika itu saya juga agak cemas untuk mendengar apa yang akan keluar dari mulut isteri saya.“Bang…beras dah habis, belanja untuk anak-anak sekolah esok pun dah tak ada duit”. Saya hanya mendiamkan diri.

Tidak ada perkataan yang mampu untuk saya keluarkan. Saya diam. Ketika itu saya betul-betul tidak mempunyai wang. Tanpa berkata apa-apa, saya beredar ke bilik air untuk mengambil air sembahyang dan terus ke bilik menunaikan solat Maghrib. Selepas solat, saya keluar dari rumah dengan membawa peralatan pisau pengukir dan sebiji lampu “recharge electric” .

Saya pergi ke sebuah bengkel yang masih dalam pembinaan. Di sana, saya mula mengukir. Sementara fikiran di kepala terbang jauh memikirkan di mana untuk mencari sumber kewangan. Pada ketika itu, saya tidak sanggup berhutang dengan orang lain walaupun dengan adik beradik sendiri. Walaupun mereka ada wang, saya pasti dan khuatir mereka akan mengatakan tiada wang. Jika inilah jawapan yang akan saya terima, sudah tentu hati dan perasaan menjadi lebih parah. Malangnya diriku ini...
Saya tetap meneruskan kerja-kerja mengukir sementara fikiran saya masih melayang jauh. Mencari jalan penyelesaian. Jam tangan saya sudah menandakan waktu 12 tengah malam.

Terkejut. Pelik. Saya terpaku apabila melihat di sebelah kanan saya terdapat note RM50 dalam keadaan yang cantik dan kemas sekali. Tidak jauh dari kedudukan saya. Hampir 10 minit juga saya terdiam kaku. Sambil berfikir dari mana datangnya duit ini. Saya ambil note itu untuk memastikan adakah itu benar-benar duit ataupun hanya bayangan disebabkan terlampau mengharap. Memang itu adalah duit yang sebenar. Fikiran saya pun mula berlegar-legar memikirkannya.

Mungkinkah tiap-tiap malam saya akan memperolehi note RM50 atau hanya inilah note pertama dan yang terakhir. Kalau hari-hari turun duit RM50, rasanya mungkin saya tak perlu kerja lagi. Terfikir  juga saya, mungkin note RM50 ini satu sindiran bagi saya. Lantas saya terus berkemas dan beredar dari bengkel itu. Saya menuju ke sebuah kedai runcit yang masih beroperasi pada malam itu. Saya membeli satu beg kecil beras yang beratnya 5kg. Saya pulang ke rumah tanpa memberitahu perkara sebenar kepada isteri. Kemudian saya menghulurkan wang RM15 kepadanya untuk belanja anak-anak ke sekolah esok hari. Saya masih berbaki wang sebanyak RM18.

Pada keesokan harinya saya pergi ke tepi pantai batu 23, Sungai Nibong. Sambil duduk, pandangan saya mengarah ke lautan yang terbentang luas. Melihat kebesaran Allah.   Subhanallah, Maha Hebat Engkau Ya Allah. Sambil saya berfikir apa lagi yang hendak saya lakukan. Sebuah demi sebuah sampan berlalu menghala ke tengah lautan untuk mencari sumber rezeki. Ada yang menjaring udang, ada yang menjaring ikan. Ketika itu saya menganggap kayanya nelayan-nelayan itu jika dibandingkan dengan diri saya. Ingin sekali untuk memohon kerja pada mereka. Keinginan itu tidak sanggup diluahkan disebabkan tidak ada langsung pengalaman bekerja di laut. Takut mabuk laut, dan menyusahkan nelayan tersebut.
           
Tersentak saya apabila melihat seorang nelayan yang cacat anggotanya. Hanya dengan menggunakan tongkah, dia bergerak ke tengah lautan. Tongkah itu dibuat daripada papan lapis yang menyerupai sampan. Ia bergerak tanpa menggunakan enjin. Bergerak ke tengah lautan menyusuri persisiran pantai dengan bantuan arus air yang bergerak surut. Saya kenal beliau tetapi tidaklah begitu mesra. Beliau cacat akibat kemalangan jalan raya dan menyebabkan kakinya tempang. Beliau mempunyai 4 orang anak dan seorang isteri.

Saya perhatikan dari jauh gerak-geri beliau sehinggalah air laut mulai pasang. Beliau kembali ke pengkalan dengan membawa sebuntil kerang. Sampai saja di jeti, hasil kutipan kerang disambut oleh seorang peraih yang menunggu. Selepas ditimbang, peraih menghulurkan note RM50 sekeping dan RM10 sekeping. Selepas itu beliau ke warung untuk minum di sana. Ya Allah, orang cacat pun boleh bekerja mencari rezeki dan mampu menyara keluarganya.

Tanpa membuang masa, saya menghampiri beliau untuk minum bersama sambil berbual. Sebenarnya tujuan saya adalah untuk mengetahui bagaimana cara untuk mencari kerang dan adakah beliau sanggup menerima saya sebagai kawan untuk mencari kerang bersama.

Setelah selesai bersembang dengan beliau, saya bergegas ke pekan Sungai Nibong, bagi tujuan untuk mendapatkan papan lapis dari sebuah kedai kayu dan papan yang menjual barang-barang terpakai. Dengan duit yang ada sebanyak RM18, saya membeli papan lapis, paku dan damar. Saya membawanya ke rumah teman tadi, dan memulakan membuat tongkah bersama dia.

Keesokan paginya, saya ke tepi pantai lagi tetapi kali ini saya datang dengan membawa tongkah yang saya buat. Saya duduk menanti kenalan baru saya.“Lan…aku tidak ada pengalaman, ajar aku nanti ye...!”. Dia tersenyum dan mengiakan pelawaan soalan saya tadi. Waktu itu air di laut sudah separuh surut dan saya bergerak bersama beliau. Duduk di atas tongkah sambil mendayung menggunakan tangan dengan bantuan selipar.

Disebabkan aliran air agak deras, agak kelam-kabut juga saya mengawal tongkah itu. Sebenarnya, saya tidak pandai berenang sehingga hari ini. Beliau yang berada tidak jauh datang menghampiri saya, terus merapatkan tongkah beliau dengan tongkah saya. Kami beredar seiring, saya mendayung sebelah kanan dan beliau pula mendayung sebelah kiri. Hebat sungguh rakan saya ini, walaupun cacat tetapi mahir mengendalikan tongkah. Itulah pengalaman saya bergerak ke tengah pantai dengan hanya menaiki tongkah. Perjalanan semasa pergi memanglah tidak terasa begitu penat kerana kita hanya perlu mengawal tongkah yang kita naiki sahaja. Saya kira hampir 2km juga kedudukan saya dari pengkalan.

Apabila melihat kerang yang banyak di kawasan itu, saya rasa cukup terhibur. Pelaburan yang saya lakukan kini nyata bukanlah sesuatu yang sia-sia. Saya teruskan pencarian sehinggalah hampir tengahari. Saya berjaya mengumpulkan hampir penuh satu guni gula.

“Nan…air mula pasang, mari kita pulang”, rakan saya memanggil pulang. “MasyaAllah ombak kuat, tongkah aku tak bergerak, macamana ni?”.Masa itu baru saya tahu rupanya bukan mudah untuk menggerakkan tongkah  sambil membawa kerang di atas lumpur. Tongkah tidak mahu bergerak ke hadapan. Hanya mengesut ke kiri dan ke kanan sahaja. Saya cuba sedaya upaya, namun pergerakannya tidak jauh dari kedudukan asal. Pada masa itu, fikiran saya bercelaru, mahu membawa bersama kerang yang dikutip atau dengan tinggalkannya sahaja.

Akhirnya membuat keputusan, biarlah saya mati daripada meninggalkan kerang yang sudah kutip begitu sahaja. Saya turun dari tongkah kemudian menolak tongkah tersebut. Waktu itu lumpur telah pun setinggi paras pusat. Penat. Perasaan takut memang tidak boleh digambarkan. Oleh kerana ini bukan bidang kerjaya saya dan saya langsung tidak mempunyai pengalaman, jadi agak sukar untuk saya lakukan kerja ini dengan baik seperti nelayan lain .

Pergerakan saya ke tebing banyak dibantu oleh pukulan ombak. Apabila ombak melanda, pergerakan saya ke tebing dimudahkan 4-5 meter kehadapan. Saya bertahan dari mengikut arah air yang boleh membawa saya berundur kembali. Begitulah seterusnya sehingga saya sampai di tepi pantai. Alhamdulillah...perasaan lega terpancar di raut muka saya.

Sepatutnya pengalaman semalam membuatkan saya serik, tetapi tidak bagi saya.   Saya tidak ada jalan lain dan tidak ada pilihan untuk mendapatkan sumber kewangan. Saya tidak sanggup mendengar anak-anak menangis disebabkan kelaparan tidak ada makanan. Jika mereka yang cacat boleh melakukannya, kenapa tidak bagi saya yang cukup sifat fizikal. Dayus bagi diri saya jika tidak dapat melakukannya. Semangat mencari rezeki semakin berkobar-kobar.  “Ya, aku boleh!”

Hari ini saya turun ke laut mencari kerang lagi. Kali ini saya tidak pergi jauh ke tengah. Walaupun tangkapan tidak seperti hari pertama, namun dalam satu hari tangkapan di tepi pantai bolehlah mencecah di antara RM15 ke RM25. Alhamdulillah...

Walaupun tangkapan tidaklah sebanyak mana, namun saya tetap dapat menyimpan sedikit wang. Belanja dapur seperti beras, satu beg boleh bertahan untuk tempoh seminggu. Lauk seperti ikan atau kerang boleh dibeli di jeti, dan harganya tidaklah terlalu mahal seperti harga di pasar. Sayur-sayuran seperti pucuk ubi, pucuk pakis atau kangkung boleh dicari di kebun atau di dalam parit. Tidak memerlukan kos .

Kebetulan pada masa itu, saya ada enjin motor pam air jenis Honda 5 kuasa kuda. Saya terlihat sebuah sampan kecil menggunakan enjin tersebut. Enjin ini dipasang satu sub panjang yang ada kipas di hujungnya. Sampan yang menggunakan teknik ini sebenarnya banyak digunakan di Thailand. Batang sub kipas disambungkan terus kepada enjin itu. Memang ada dijual  dengan harga RM125 untuk satu set.

Hasil simpanan yang saya kumpul, saya belanjakan untuk membeli peralatan dan bahan-bahan untuk membuat sampan ekor biawak. Saya mengambil masa tiga malam untuk menyiapkan sampan ini. Tujuannya adalah untuk sebagai kenderaan pergi dan balik membawa hasil tangkapan laut.

Kali ini tidaklah seteruk seperti waktu mula-mula saya turun ke laut. Walaupun sampan saya kecil jika dibandingkan dengan sampan nelayan-nelayan yang lain, namun saya bangga mempunyai kenderaan untuk ke laut hasil kerja tangan saya sendiri. Sayang seribu kali sayang, selepas seminggu mencari kerang menggunakan sampan ekor biawak, saya terpaksa berhenti mencarinya. Rupanya kerang bukan senantiasa ada, kerang mempunyai musim. Baru saya tahu.

Hari ini masuk hari yang ketiga saya tidak turun ke laut. Kerang masih tiada. Hati kembali risau, berfikir di mana aku hendak mencari duit. Petang itu, saya pergi ke Pasir Panjang untuk membeli jaring terpakai. Ingin memulakan membuat tangkapan ikan belanak. Biasalah...jaring sudah terpakai dan harganya pun hanya RM60. Keadaannya tidak boleh dipertikaikan. Apa yang penting  bagi saya, jarring itu mestilah panjang.

Selepas menunaikan solat Maghrib, saya ditemani seorang rakan untuk memulakan tangkapan ikan belanak. Rakan itu juga tidak berpengalaman turun ke laut. Kami mula melabuhkan jaring. Beberapa minit kemudian, kami berehat seketika sambil menghisap sebatang rokok. Kemudian saya menghidupkan enjin untuk menaikkan semula jaring yang  dilabuhkan tadi.

Terkejut. Jaring yang saya labuhkan tadi tiba-tiba hilang. Kami cuba mencari.   Pencarian kami menemui jalan buntu. Jam telah menunjukkan pukul 12 tengah malam.  Kami hampa. Akhirnya kami pulang ke rumah dengan tangan kosong dan perasaan kecewa. Dalam hati saya masih timbul persoalan, bagaimana jaring tersebut boleh hilang?

Fikiran berserabut. Wang simpanan juga telah habis. Saya rasa sangat tertekan dan mungkin ini membuatkan saya seperti ingin meluahkan perasaan kepada peniaga jaring terpakai yang saya kenali. Mungkin melalui cerita yang diluahkan, timbul perasaan simpatinya hingga sanggup menjual jaringnya dengan cara hutang. Saya rasa sangat bersyukur dan mungkin peristiwa kehilangan jaring itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Beliau telah mengajar teknik untuk membuat tangkapan ikan belanak dengan mudah.

Tangkapan ikan belanak ini sebenarnya tidaklah memerlukan nelayan untuk berada di laut pada tempoh masa yang panjang. Waktu yang paling sesuai dan mudah untuk membuat penangkapan ikan belanak adalah anggaran 45 minit air sudah mula pasang atau 45 minit mula surut. Biasanya ikan belanak ini bergerak secara berkumpulan. Ketika air pasang, ikan belanak akan bergerak ke arah darat. Manakala ketika air surut, ikan belanak akan bergerak ke arah lautan.

Sebelum jaring dilabuh, terlebih dahulu pastikan adanya gerombolan kumpulan ikan-ikan tersebut. Kita boleh melihatnya dari atas sampan. Tanda bila terdapat gerombolan ikan, adalah terhasilnya percikan air ataupun kocakan pada permukaan air. Mengikut teori, ikan-ikan akan mula bergerak ke arah daratan apabila air mula pasang. Labuhkan jaring dengan kedudukan daratan, jaring dan gerombolan ikan. Manakala air bergerak surut, labuhkan jaring dengan kedudukan daratan, gerombolan ikan dan jaring. Dalam sehari, tangkapan boleh dilakukan sebanyak maksimum empat kali. Ini kerana air akan pasang dua kali dan begitu juga waktu surutnya. Tangkapan yang banyak adalah waktu air laut bergerak pasang. Pada ketika itu, gerombolan ikan tidak berpecah. Harga sekilo ikan belanak yang dijual secara borong kepada peraih pada masa itu, dengan harga 0.80 sen sahaja.

Hasil tangkapan ikan belanak, hingga mampu membeli sebuah sampan, sebiji enjin sangkut berserta kelengkapan jaring untuk menangkap udang. Semakin hari pendapatan saya semakin meningkat kerana kemahiran dan kecekapan melakukan kerja dilaut seperti sudah biasa. Dalam sehari, hasil tangkapan udang di antara RM100 hingga RM150.

Bekerja di laut adalah lebih berat berbanding bekerja di darat. Bekerja sebagai nelayan juga memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi. Menjaring udang perlu melabuhkan jaring berulang ketika air sedang bergerak pasang atau surut. Semakin kerap melabuhkan jaring, kebarangkalian untuk mendapatkan hasil tangkapan udang adalah tinggi. Apabila air berhenti bergerak atau mulai tenang, jaring tidak guna dilabuhkan disebabkan udang tidak akan sangkut melainkan anak-anak ikan sahaja.



Selain gunakan wang untuk menyara keluarga, saya juga menggunakan wang  untuk belajar membuat sampan gentian kaca. Biasanya saya akan belajar pada sebelah petang selepas pulang dari laut hingga lewat malam atau sehingga awal pagi. Apabila air pasang mati iaitu pada pertengahan dan akhir bulan atau awal bulan Islam, pergerakan air adalah tenang. Nelayan yang membuat tangkapan udang tidak turun ke laut. Masa ini juga saya gunakan untuk pembuatan sampan. Sampan yang pertama berjaya saya siapkan, saya jual walaupun dengan harga yang agak murah. Hasil jualan ini digunakan untuk membeli bahan mentah bagi menghasilkan sampan yang baru.

Saya suka turun laut dengan membawa belia yang tidak mempuyai pekerjaan. Saya tidak kisah sama ada mereka pandai ataupun tidak dalam pekerjaan ini. Biasanya saya yang akan mengajar mereka. Bila mereka pandai, saya akan sediakan satu sampan berserta kelengkapannya untuk dia kendalikannya.  Saya akan menggunakan sampan yang lain dan membawa orang baru untuk saya ajar jadi nelayan.

Pendapatan mereka adalah dengan cara menolak harga petrol daripada hasil tangkapan dan bakinya dibahagi dua. Cara ini, saya dapat membantu belia-belia yang tiada pekerjaan. Secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan saya. Sehingga pada satu ketika, saya ada tujuh buah sampan lengkap dengan peralatannya.   

Bagi menambah hasil pendapatan, saya tidak turun ke laut lagi tetapi menjadi seorang peraih ikan. Melalui cara ini, dapatlah saya mempertingkatkan pendapatan belia dan pendapatan saya sendiri. Kulit saya juga kelihatan mulai cerah kerana pekerjaan menjadi peraih ikan kurang terdedah dengan pancaran cahaya matahari, tidaklah seperti pekerjaan saya sebelum ini. Sifat semulajadi saya, memang dianggap tidak boleh duduk diam. Ada saja cara yang difikirkan untuk menambah pendapatan harian.

Kali ini, sebanyak RM3 daripada setiap seorang pembawa sampan kepunyaan saya, akan dikutip setiap hari penangkapan. Satu pusingan air adalah selama 10 hari. Duit kutipan yang terkumpul dari setiap sampan untuk tempoh itu pula adalah sebanyak RM210. Saya akan menambahnya sehingga nilai kutipan menjadi RM500 untuk setiap pusingan air. Wang dari kutipan ini adalah sebagai hadiah kepada pembawa sampan yang paling banyak membuat tangkapan untuk satu pusingan air. Secara tidak langsung, mereka akan bersaing untuk membuat tangkapan yang banyak. Pendapatan saya juga pasti akan bertambah.

Alhamdullillah. Pendapatan saya meningkat kepada tidak kurang daripada RM700 sehari. Biasalah, sudah menjadi kebiasaan manusia untuk sentiasa tidak berpuas hati dengan kesenangan orang lain. Kerana itu, ujudlah taukeh-taukeh baru menggunakan idea seperti yang saya lakukan. Lama kelamaan, pembawa-pembawa sampan saya yang terdiri daripada kaum belia telah ditarik oleh taukeh-taukeh sampan yang lain. Dengki... dengki...

3 tahun sudah saya menjinakkan diri mencari rezeki di laut, jadi cabaran seperti ini seperti sudah menjadi kebiasaan. Keyakinan dan semangat saya juga semakin meningkat. Setelah berfikir sedalam dalamnya, sampai bila terus menjadi nelayan dan sampai bila melakukan kerja yang salah dari segi undang-undang. Salah disebabkan kesemua sampan yang ada, tidak mempunyai lesen tangkapan ikan. Akhirnya membuat keputusan menjual kesemua sampan yang ada.

Hasil jualan sampan, digunakan untuk memulakan projek pertanian di tanah kepunyaan mert. Saya menggunakan kesemua wang yang ada untuk menjayakan projek tanaman jagung, pisang dan pokok limau purut. 

Ketika jagung-jagung yang ditanam baru mula berputik, hampir keseluruhan tanaman dimusnahkan oleh babi-babi hutan. Keadaan ini benar-benar membimbangkan saya oleh kerana bulan Ramadhan yang hampir tiba dan seterusnya hari raya serta hari persekolahan (pada tahun 2001) yang pastinya memerlukan banyak wang. Sangat cemas pada ketika itu. Malang menimpa saya lagi. Aduh!

Keadaan ini telah memaksa saya untuk turun semula ke laut sekali lagi tetapi kali ini dengan mengambil upah daripada nelayan lain. Saya memang tiada duit sama sekali pada ketika itu. Hendak menunggu pokok-pokok limau purut membesar juga mengambil masa yang panjang. Akhirnya saya membuat keputusan memohon untuk bekerja di luar negara.
  
Seminggu sebelum menyambut hari raya Aidilfiri, saya mendapat tahu permohonan saya untuk bekerja di luar negara telah diterima. Saya sangat gembira. Saya juga mendapat wang pendahuluan sebanyak RM5,000. Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana akhirnya saya mempunyai wang untuk membeli keperluan keluarga pada hari raya kali ini. Alhamdulillah...saya ditawarkan bekerja sebagai penyelia ternakan ayam telur di Dubreka, Guinee, Afrika Barat.

Seminggu selepas sambutan hari raya, bermulalah detik saya bekerja di luar negara. Sedih. Sayu sungguh rasa hati tatkala terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak-anak. Tapi apakan daya, saya perlu tetap berhijrah untuk masa depan keluarga, mencari modal untuk meneruskan kehidupan yang lebih selesa. Perjalanan ke tempat kerja yang terpaksa menaiki 3 kapal terbang  barulah sampai ketempat kerja. Bermula dari Kuala Lumpur, Singapura, Paris dan barulah sampai ke Guinee, Afrika Barat.

Bekerja jauh di Negara Afrika memang tidak pernah terlintas di fikiran saya sama sekali. Pelik sungguh! Sedangkan rakyat mereka sendiri berusaha untuk keluar dari negaranya dan berhijrah ke negara lain bagi mencari wang tetapi saya pula sebaliknya. Pejam celik pejam celik sudah hampir setahun saya bekerja di sana dengan gaji sebanyak RM5,000. Di sana, saya memasak makanan sendiri dan tidak membeli makanan di luar. Mungkin kerana itu jugalah saya dapat mengumpul wang lebih banyak. Selain itu, dua penyakit yang sering membawa maut di sana ialah AIDS dan Malaria. Penyakit AIDS masih dapat dielakkan tetapi Malaria memang sukar untuk dicegah.

Serangan Malaria ini boleh membuatkan mangsanya tidak sedarkan diri. Saya juga tidak terlepas dari serangan Malaria setelah hampir setahun bertugas di sana. Malang sekali buat rakan sekerja yang satu-satunya dari Malaysia, telah meninggal di sana disebabkan penyakit ini. Bagi orang yang benar-benar tidak ada duit, kematian itu bukanlan sesuatu yang menakutkan. Tetapi bila ada duit, jika bolih lewatkan sedikit tarikh kematian. Nyawa itu sangat berharga. Begitulah halnya dengan diri saya. saya tetap mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana takut dijangkiti wabak itu lagi.

Hari ini rasa rindu saya pada suasana di Afrika begitu mendalam sekali. Sebenarnya kehidupan di sana adalah susah, ada duitpun tidak ada apa yang hendak dibeli. Tetapi setelah kita tinggalkan, perkara yang susah itu menjadi sesuatu yang menyeronokan dalam ingatan dan menjadi satu kerinnduan. Sukar dan tidak mungkin untuk saya bertemu keadaan seperti itu lagi.   Di Malaysia, saya masih tidak tahu perniagaan apa yang akan saya usahakan. Sambil tercari-cari, saya menulis seperti satu wasiat untuk anak-anak saya. Apa yang perlu mereka lakukan jika sekiranya telah habis belajar dan tidak dapat kerja makan gaji satu hari nanti.

Sama sekali tidak menyangka, wasiat itu dianggap sebagai fardhu kifayah dan diterbitkan sebagai sebuah buku. Akhirnya terbitlah buku pertama saya yang bertajuk “Melahirkan Jutawan Melalui Sektor Pertanian”. Sama sekali tidak menyangka buku pertama ini telah melonjakkan nama saya, perlancaran buku ini dilakukan oleh dua orang menteri. Menteri pertanian (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan menteri pelajaran (Dato’ Hisyamudin Tun Hussin). Semasa itu perdana menteri Malaysia adalah Tun Hj. Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi.

Bermula dengan buku inilah, kini saya menerima kontrak menulis buku dengan Dewan Bahasa Pustaka tentang pertanian sebanyak 25 buah tajuk. Setiap kontrak mendapat royalti sebanyak 13% dan edaran dengan tambahan 33%. Untuk setiap tajuk, perjanjiannya adalah selama 50 tahun. Sehingga kini sebanyak 12 judul buku yang telah saya siapkan dan akan berada dipasaran pada tahun 2011. Sebenarnya saya sama sekali tidak menyangka akan menjadi seorang penulis. Lebih-lebih lagi menulis dengan DBP, disebabkan keputusan Bahasa Malaysia, Sijil Pelajaran Malaysia, saya  mendapat pangkat tujuh.

Saya seperti terpanggil untuk membantu masyarakat petani negara kita. Sebagai contoh untuk ternakan ikan keli. Kenapa petani kita ramai yang gagal dalam usaha ke arah ternakan ini? Saya melihat petani kita gagal disebabkan tidak mempunyai ilmu yang cukup secara keseluruhan tentang apa yang mereka lakukan. Mereka hanya tahu cara untuk membesarkannya sahaja. Sebab itulah saya cuba membantu dengan cara menulis secara lengkap bagaimana untuk menternak induk ikan keli, menghasilkan anak ikan keli, pembuatan makanan ikan keli, pembesaran ikan keli, pemprosesan ikan keli, pemasaran ikan keli dan penghasilan barangan siap berasaskan ikan keli didalam sebuah buku. Ini bermakna petani tidak perlu mencari banyak buku untuk membuat rujukan. Sikap penulis juga perlu jujur dan ikhlas serta tahu tentang apa yang ditulis. Barulah pembaca akan memperolehi ilmu untuk dimanfaatkannya.

Saya menganggap penglibatan saya dalam bidang penulisan buku ini sebagai salah satu cara saya beribadah kepada Allah dan sebagai bekalan setelah meninggalkan dunia ini. Semoga ia menjadi satu ilmu kebaikan yang dapat digunakan oleh generasi hari ini dan akan datang. Antara buku-buku saya dengan DBP adalah ternakan ayam kampung, herba berpotensi, mas cotek herba ajaib, ternakan kambing, belut, aromaterapi, ternakan lembu , baja organik, pembiakan tanaman, cacing, cendawan dan ikan keli.

Mungkin anda tidak memerlukan buku-buku ini, tetapi satu masa nanti anak-anak atau cucu-cucu anda, yang sedang tercari-cari kerja, pasti buku ini sangat berguna kepada mereka. Seperti buku pertama saya, sudah tidak dicetak lagi, tetapi naskah yang terakhir dijual di laman web di lelong.com.my dan bernilai RM 280, di mana harga asalnya hanya RM49 sahaja.

Mungkin kini ramai orang telah mula mengenali herba mascotek. Herba yang dianggap Malaysia sebagai pelopor dunia jika mengikut kajian Universiti Putra Malaysia (UPM). Sayalah di antara orang yang memperkenalkannya. Mascotek kini saya kormersialkan dalam bentuk minuman kesihatan yang dikenali sebagai “1SOmedic”. Saya tidak menyangka sama sekali produk yang saya hasilkan diterima oleh pasaran domestik dan juga pasaran luar negara (Brunei, Singapura, Indonesia dan China).

Saya juga tidak menyangka air ini telah dianggap sebagai air serbaguna untuk kencing manis, gaot, senggugut, lenguh-lenguh, lelah dan boleh didemontrasikan untuk masalah tekanan darah tinggi. Selepas satu jam pengambilan 1SOmedic, tekanan darah tinggi terbukti dapat diturunkan. Bagi masalah denggi pula, selepas pengambilannya sebanyak tiga botol sehari, selama tiga hari berturut-turut, hampir semua yang mencuba akan keluar wad tidak lebih dari tiga hari. InsyaAllah. Saya sendiri pun hampir tidak percaya hal ini boleh berlaku.

Begitu juga halnya dengan tanaman cendawan. Tanaman ini telah lama diperkenalkan di Malaysia semasa Menteri Pertanian kita iaitu Dato’ Sanusi Junid. Sehingga hari ini belum ada pengusaha bumiputera yang kaya dengan mengusahakan tanaman cendawan. Ini disebabkan mereka tidak mempunyai makmal sendiri untuk mengeluarkan benih cendawan. Hasil cendawan berpunca daripada kualiti benihnya. Jika kualitinya baik, hasil cendawan akan lebih banyak dan bermutu tinggi. Alhamdulillah, kini saya boleh mengeluarkan benih seberapa banyak bergantung permintaan. Biarpun permintaan sejuta sekalipun dapat saya hasilkan. Saya juga tidak menyangka yang kini saya mempunyai makmal sendiri bagi mengeluarkan benih cendawan yang berkualiti dan tiada had bilangannya.
Jika anda ingin menjadi jutawan pengeluar anak benih tanaman, saya rasa tidak menjadi satu masalah untuk saya membantu. Ini kerana saya ada sebuah makmal untuk penghasilan anak benih secara kultur tisu. Berapa juta sekalipun saya boleh keluarkan asalkan ada permintaan. Saya sangat bersyukur kepada Allah di atas pemberian ilmu, kemahiran dan kepakaran yang mana sebelum ini saya tidak ada dan hingga saya hampir berputus asa.

Kejatuhan saya dahulu menyebabkan kebangkitan saya pada hari ini lebih bermakna. Apa yang hilang dulu, kini seperti diganti semula. Malah saya bersyukur kerana sekarang saya dapat membantu ramai orang. Saya suka menjadikan kesusahan saya yang lalu sebagai pendorong dan supaya saya bertindak lebih berhati-hati. Semoga kesusahan saya dulu tidak akan diwarisi masyarakat kita hari ini.

Walaubagaimanapun, apabila teringat tentang saham pada awalnya seperti fobia dibuatnya. Selepas pulang dari Afrika dan berniaga semula dalam pasaran saham BSKL, saya mengalami kerugian semula sebanyak RM50,000 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Ribu). Menjadikan saya senantiasa berfikir, bagaiman masuk pasaran saham itu sebagai perniagaan. Perasaan putus asa atau kecewa bagi diri saya, sebenarnya bukan tidak ada. Tetapi sebagai insan yang pantang menyerah, saya tetap teruskan usaha dan terus berusaha sehingga saya ingin mencapai satu kejayaan dalam pasaran saham.

Kali ini saya memasuki pasaran hadapan komoditi kelapa sawit Malaysia. Urusniaga hari ini tidaklah seperti dahulu. Hari ini, urusniaga pasaran hadapan adalah lebih telus. Urusniaga boleh dilakukan terus oleh pelabur secara ‘‘on-line”. Ini bermakna pelabur boleh melakukan urusniaga dengan sendiri. Memasuki pasaran atau keluar pasaran dilakukan oleh pelabur. Selain daripada itu, caj untuk satu lot masuk dan keluar pasaran juga rendah. Anggaran satu mata sebagai caj bagi urusniaga yang dilakukan pada hari yang sama (keluar dan masuk pada hari yang sama) dan 2 mata untuk urusniaga yang bermalam (masuk dan keluar pada hari yang berbeza).

Pasaran saham hadapan komoditi semakin diminati ramai. Saham ini menjadi aktif sehinggakan purata harga tertinggi dan harga terendah sebanyak 50 mata sehari. Apabila saham aktif, mudah untuk mendapatkan keuntungan. Boleh dikatakan setiap saat urusan jual beli sentiasa berlaku. Pembeli dan penjual juga sentiasa ada.

Urusniaga saham pasaran hadapan secara “on-line” juga membekalkan pelbagai kemudahan teknikal bagi memudahkan para pelabur. Inilah yang menjadikan saya tertarik semula untuk memasuki pasaran hadapan kelapa sawit. Urusniaga pasaran hadapan kelapa sawit juga adalah sah dari sudut perundangan negara dan tidak seperti pasaran mata wang asing “foreign exchange” ataupun biasanya dikenali sebagai “FOREX”. Urusniaga pasaran mata wang, kerajaan Malaysia belum lagi meluluskan kepada umum. Itulah sebabnya bila melakukan urusniaga ini perlu membuka akaun di Singapura atau Australia.

Hampir 8 bulan saya memasuki pasaran hadapan komoditi kelapa sawit. Baru saya tersedar rupa-rupanya masih banyak perkara sebelum ini yang saya tidak tahu. Sebab itulah dulu saya mengalami kerugian yang besar. Tetapi, hari ini saya boleh tersenyum lebar apabila memasuki pasaran hadapan komoditi kelapa sawit.

Apa tidaknya, memasuki  pasaran hadapan adalah seperti bermain catur. Pernah saya lihat di kaca televisyen, saluran TV3 seorang pemain catur boleh menang walaupun lawannya itu seramai 10 orang dan bermain dalam satu masa yang sama. Persoalannya, bagaimana dia dapat melakukannya? Bermain terus menang. Sehingga terlalu sukar untuk dia kalah.

Sekiranya kita berkongsi apa yang kita lakukan dan menguasai ilmu tersebut, yang susah pasti akan menjadi mudah. Apabila kita berkemahiran dan mempunyai strategi yang baik sudah tentu kita akan selalu berada di kelompok atau kumpulan yang menang. Latihan yang kerap akan menjadikan kita tidak teragak-agak untuk membuat keputusan dan seterusnya membolehkan kita bertindak dengan bijak. Paling penting ialah sentiasa fokus terhadap apa yang sedang kita lakukan.

Saya sama sekali tidak menyangka bahawa mencari keuntungan dalam pasaran saham masa hadapan adalah sangat mudah jika anda mengetahui selok-beloknya yang penting ialah sentiasa mendisiplinkan diri, bertindak melalui arahan dan jangan bersikap terlalu tamak dan jangan bertindak terburu-buru.

JANGAN WARISI LIKU PERJALANAN HIDUP SAYA...ANDA SEMUA, GUNAKAN APA YANG SAYA ADA UNTUK DITERUSKAN SEBAGAI JALAN PINTAS UNTUK BERJAYA.

0 comments:

Post a Comment

Please leave your email here before you leave this page,thank you...