berdosa aku kalau tidak menyampaikannya.....(blog dalam pembangunan)...contact us:019-6132045

Friday, June 3, 2011

Wanita melayu Malaysia perlu menjadi kaya


Jarang kita mendengar penambahan bilangan wanita yang mendadak disenaraikan sebagai individu muflis. Tetapi sebaliknya apa yang berlaku pada golongan kaum lelaki. Kenapa fenomena ini berlaku?  Mungkin sikap wanita yang lebih berhati-hati dan lebih teliti sebelum melakukan sesuatu. Mungkin sikap takut atau tiada sikap terlalu berani, menyebabkan wanita terselamat dari perkara ini. Mungkin juga disebabkan wanita kurang tekanan dari sudut untuk mendapatkan keperluan ekonomi. Mungkin juga jiwa lelaki yang ingin untuk cepat menjadi kaya. Jika inilah punca penyebabnya, bermakna jiwa wanita adalah lebih tenang, matang dan tidak tertekan. Jiwa dan sikap seperti ini akan menjadikan individu itu lebih tenang dan rasional bila berhadapan sebarang keadaan. Samaada kedaan yang menggembirakan atau keadaan yang sulit atau bermasaalah. Sikap seperti ini, akan dapat menyelesaikan permasaalahan dengan lebih baik dan tidak tergesa-gesa bila membuat keputusan dan bertindak..
Sifat seperti ini adalah merupakan anugerah semulajadi kepada golongan wanita dan gunakan anugerah ini untuk kita bangun dan mencapai kejayaan. Tugas kita hari ini, bukan sahaja sebagai isteri, tugas mendidik anak-anak tetapi adalah juga untuk mempertingkatkan ekonomi. Saya yakin dan percaya, tugas ini mampu wanita pikul dan jayakannya seperti yang digaris kasarkan dalam buku ini. Wanita adalah kaum yang hebat. Sebab itulah wanita perlu bangun  dan perlu berjaya bagi menyelamatkan keluarga, agama dan negara.
            Wanita hari ini perlu bangun dan berjaya serta tidak mahu hanya digelar sebagai kilang pengeluar anak semata-mata. Kejayaan wanita hari ini telah terserlah dalam melahirkan dan mendidik insan yang berjaya. Pemimpin-pemimpin tanahair, intelektual, individu yang pakar-pakar, doktor atau profesor, peniaga-peniaga yang berjaya adalah bermula kelahirannya dari seorang wanita. Kejayaan ini tidak akan diperolehi jika wanita tidak melahirkan, tanpa asuhan dari wanita, didikan dan dorongan ibubapa terutama dari seorang wanita yang bergelar ibu. Lahir sahaja bayi dimukabumi, dia diibaratkan seperti kain putih, ibubapalah yang akan mencorak kanak-kanak tersebut. Baik corak yang dibentuk, baiklah sifat dan akhlaknya.
            Pernah ada satu cerita, seorang imam yang cukup pandai dalam menyampaikan khutbahnya setiap hari Jumaat. Setiap khutbah yang disampaikan akan memberi kesan kepada para jemaah. Maka ramailah yang memuji atas kehebatan imam tersebut. Isteri kepada imam tersebut mengatakan, beliau lebih hebat dari suaminya “ jika tidak percaya, saya akan buktikan pada minggu hadapan”. Bermula malam khamis, isteri kepada imam tersebut mengadu kesihatannya kurang baik. Bila anak yang kecil menangis, isteri membiarkannya, sehingga imam tersebut semalaman tidak dapat tidur lena.
Kebiasaan imam ini akan mengarang khutbah untuk esok hari, telah tergendala disebabkan penjagaan anak kecil. Keesokan paginya, bila imam baru mencapai pen dan kertas untuk mengarang khutbah, isterinya minta tolong suaminya bagi membeli barangan dapur yang kehabisan. Bila  keperluan telah dibelikan, sekali lagi imam mencapai pen dan kertas, tiba-tiba isterinya mengadu tidak dapat memasak dan tidak dapat menjaga anak disebabkan sakitnya datang semula. Akhirnya khutbah disampaikan dengan cara yang spontan. Para jemaah mendapati khutbah yang disampaikan terlalu jauh beza dengan minggu-minggu sebelumnya. Ini menunjukan peranan wanita adalah penting dan akan mempengaruhi kerjaya suaminya. Siapa yang mengatakan, isteri atau wanita tidak mempunyai peranan yang penting? 
Bagi mencapai tahap ekonomi orang-orang melayu untuk pencapaian sehingga 30%, peranan wanita sangat-sangat perlu bagi melaksanakannya. Sebagai kaum hawa yang bergelar wanita, marilah kita sama-sama untuk membuktikan bahawa wanita akan dapat mencapai matlamat tersebut. Apabila statistik diantara kaum lelaki dan kaum wanita, bilangan wanita hari ini adalah lebih ramai berbanding dengan kaum lelaki. Justeru peningkatan ini akan menjejaskan pencapaian 30%, jika wanita tidak sama-sama bangun untuk berjaya. Hasrat murni kerajaan kearah peningkatan pencapaian ekonomi orang melayu, kita sebagai wanita perlu bangun bersama-sama saya untuk menjayakan dan jangan hanya berpeluk tubuh sahaja. Kita sebagai wanita perlu bangun dan berjaya serta buktikannya bahawa peranan wanita itu  adalah penting.
Kita bangun dan mengejar kejayaan dari sudut ekonomi, kerjaya dengan  mengekalkan ciri-ciri kewanitaan yang murni. Selain dari itu, mengapa wanita hari ini perlu berjaya adalah disebabkan wanita perlu bersaing antara satu sama lain bagi meletakan dirinya mempunyai kelebihan berbanding dengan yang lain. Untuk apa kita perlu bersaing? Contohnya, dalam mendirikan rumahtangga sahaja, calon suami juga akan dipengaruhi dari kejayaan wanita itu sendiri.  Ini bermakna wanita yang berjaya akan mempengaruhi bakal calon suaminya. Contohnya bagi mendapatkan pasangan hidup dalam rumahtangga. Wanita mahukan lelaki yang bertanggungjawab, ada kedudukan, mantap ekonomi, ketampanan, usia, fizikal, sikap dan ketaatannya kepada suruhan Allah. Ini juga adalah satu persaingan yang sihat dan dengan pencapaian kejayaan nanti, kita masih kekalkan ciri-ciri wanita timur dan ciri-ciri wanita Islam.
            Jika dahulu, bilangan wanita adalah kurang berbanding kaum lelaki dan dengan itu kaum wanita tidak gusar untuk berumah tangga. Ketika umur sepuluh tahun sahaja, sudah dikahwinkan. Seolah-olah calon suami itu sudah pasti dan setiap wanita akan terpilih untuk mendirikan rumahtagga. Itu dulu, dan sewaktu itu bilangan wanita adalah sedikit berbanding dengan bilangan lelaki. Ini juga merupakan ciri kenapa wanita hari ini perlu berjaya. Jika diimbas sedikit masaalah sosial yang melanda anak wanita remaja kita yang menjadi “bohsia”. Bila kita tanya kenapa mereka melakukan perkara seperti itu. Awalnya ada yang mengatakan terperangkap disebabkan kawan, perasaan yang tidak dapat dikawal keinginan untuk mencuba melakukan seks dan ada yang beralasan disebabkan masaalah kesempitan kewangan.
            Dimana akan berakhirnya permasaalahan ini? Kemana akan kesudahan kebanyakan mereka-mereka ini? Ada diantaranya yang berkata, mereka akan menggoda lelaki yang berada. Bagaimana dan kenapa? Ini juga adalah satu persaingan. Apa yang penting dalam mendirikan rumahtangga adalah kebahagian dan hari ini kebahagian adalah diukur dengan kebendaan. Wang bukanlah segala-galanya, tetapi hari ini segala-galanya memerlukan wang. Bagaimana mereka menggoda lelaki? Wanita dan lelaki seumpama kucing dengan ikan. Sealim-alim kucing adalah hanya dihadapan tuannya, tetapi berbeza jika dibelakang. Tidaklah semua lelaki bersikap seperti itu, tetapi banyak juga yang bersikap seperti itu.
            Apabila lelaki telah tergoda dengan wanita cantik, layanan yang begitu istemewa, keimanan lelaki bolih tergadai. Pujuk rayu dengan nada yang manis, bolih membuat lelaki menjadi hanyut. Ingatlah wahai kaum lelaki…wanita hari ini tidak sebodoh wanita dahulu. Bila wanita seperti ini diajak kehotel, dia akan ikut. Bila diajak tidur sebilik, dia juga akan ikut. Tetapi jangan salahkan wanita ini, jika pintu bilik diketuk oleh Jabatan Agama Islam atau ahli keluarga wanita tersebut. Bagaimana mereka bolih tahu….rupanya wanita yang anda bawa tadi telah sms semasa dibilik air. Dapatlah wanita ini berumah tangga walaupun caranya dengan ditangkap basah. Ini juga adalah merupakan satu persaingan untuk berumah tangga. Adakah ini satu contoh atau ikutan wanita Malaysia? Rasanya ada cara lain untuk wanita Malaysia bersaing dengan cara yang sihat.
Contoh yang lain kenapa wanita hari ini perlu berjaya. Cuba kita perhatikan ditempat-tempat dangdut. “GRO” adalah terdiri dari kaum wanita. Majoritinya adalah wanita yang berstatus ibu tunggal. Bila ditanya kenapa memilih kerjaya seperti ini? Hampir semua akan mengatakan disebabkan kesempitan kewangan. Perlukan wang untuk meneruskan kehidupan, perlukan wang untuk membesarkan anak-anak dan perlukan wang untuk menyekolahkan anak-anak. Persoalannya, adakah mesti ibu-ibu tunggal memilih jalan bagi mendapatkan wang dengan membuat pekerjaan seperti ini? Walaupun tidak semua ibu tunggal melakukan pekerjaan seperti ini, tetapi disebabkan nila setitik akan merosakkan susu sebelanga. Sebab itulah wanita hari ini perlu berjaya. Sebenarnya setiap wanita di Malaysia berpeluang untuk menjadi kaya. Apa yang perlu anda lakukan adalah memahami sepenuhnya apa maksud buku ini ditulis dan anda laksanakan. Saya yakin dan percaya wanita Malaysia akan menjadi wanita yang berjaya, solehah dan contoh kepada wanita-wanita lain didunia.

Ibu tunggal bahkan kekadang disinonimkan dengan ‘ibu tinggal’. Definisi “ibu tunggal” tidak terbatas pada seorang perempuan yang telah menikah namun telah ditinggal mati atau bercerai dari suaminya saja. Definisi ibu tunggal menurut Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP): Wanita yang bercerai atau menjadi balu,  wanita yang berkahwin secara sah mengikut undang-undang tetapi duduk berasingan dengan suami dan mencari pendapatan serta menjadi ketua keluarga. Wanita yang tidak berkahwin tetapi mempunyai anak.  Wanita yang mendapatkan hak penjagaan ke atas anak orang lain. 
Kenapa ibu tunggal digilai ramai lelaki terutama lelaki yang masih bergelar suami orang. Semua lelaki mempunyai naluri untuk kahwin lebih dari satu wanita. Ini adalah naluri lelaki dan ini adalah normal. Bagi lelaki, jika boleh semua wanita yang cantik-cantik itu adalah isterinya. Kenapa lelaki golongan ini lebih gemar mendekati wanita yang bergelar ibu tunggal berbanding dengan wanita yang berstatus anak dara? Ibu tunggal bila mendirikan rumahtangga yang kedua adalah memadai dari keputusan dari dirinya sendiri. Pernikahan boleh dilakukan secara senyap-senyap terutama diluar negara. Inilah ciri utama lelaki suka kepada wanita yang berstatus ibu tunggal. Berpoligami dan menikahi wanita yang berstatus ibutunggal tidak perlu mendapat persetujuan dari isteri yang sediaada. Berbeza dengan anak dara, pernikahan yang pertama perlu mengikut adat dan perlu diraikan.
Hasil kajian daripada UNDP; 89 peratus ibu tunggal dikategorikan sebagai miskin, dengan 66 peratus miskin tegar. Jumlah ibu tunggal miskin tegar di Sabah dan Sarawak lebih tinggi iaitu 91 peratus dan 73 peratus, berbanding 36 peratus di Semenanjung. 13 peratus ibu tunggal tidak berpendidikan manakala 25 peratus hanya mendapat pendidikan setakat sekolah rendah; pendidikan menengah (60 peratus) dan hanya dua peratus berpendidikan tinggi. 
Kadar perceraian yang meningkat saban tahun, secara tidak langsung menyebabkan Malaysia kini mengalami peningkatan jumlah yang ramai ibu tunggal. Satu senario yang membimbangkan dan dengan jangka hayat wanita yang lebih lama dari lelaki, angka itu dijangka akan terus bertambah. Ditinggalkan suami lalu terkontang-kanting tanpa haluan. Banyak pihak tampil menghulurkan bantuan tidak kurang juga yang mahu mengambil kesempatan. Inilah imej lumrah ramai ibu tunggal yang sering meraih simpati masyarakat, dipotretkan sebagai insan malang yang perlukan pembelaan. Itu juga adalah salah satu sebab lagi mengapa wanita hari ini perlu bangun dan berjaya.
Sebelum kedatangan Islam, wanita pernah dianggap sebagai hamba, harta peribadi dan dikatakan mempunyai sifat-sifat lebih rendah dari lelaki. Kedudukan wanita tidak terbela dan tidak diberi hak sewajarnya serta nilai dan  maruah wanita dianggap rendah. Menurut Joachim Herrman dan Erik Zurcher (1996) dalam bukunya History of Humanity Scientific and Cultural Development, undang-undang Greek ketika itu, tidak memberi sebarang keistimewaan kepada wanita. Wanita dikurung dalam rumah, tidak diberi peluang belajar, kerana menganggap wanita hanya layak menguruskan rumah tangga sahaja. Wanita juga boleh dijual beli di pasar seperti binatang dan barang dagangan, mereka tiada hak untuk membantah, kecuali diberikan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Kaum wanita pada zaman Yunani pula dipandang sebagai makhluk yang rendah, hina dan tidak berharga, dan dijadikan pemuas nafsu lelaki.
Masyarakat Yunani juga menganggap wanita sebagai komoditi dagangan yang tidak berhak mendapat harta pusaka dan pendidikan. Abu al-A’la al-Maududi dalam bukunya al-Hijab menyatakan, masyarakat Yunani menganggap wanita sebagai sumber maksiat, sumber keburukan dan kejahatan. Bagi pihak lelaki masyarakat Yunani, wanita dianggap sebagai salah satu pintu neraka kerana wanitalah yang menggerakkan lelaki melakukan dosa dan menjadi penyebab manusia menerima musibah. Masyarakat ini berpandangan wanita sepatutnya menyesal dan malu kerana dilahirkan sebagai wanita dan wanita berparas cantik sepatutnya malu dengan kecantikkannya kerana ia merupakan senjata iblis.Wanita harus menebus dosa selama hidupnya kerana mendatangkan bencana dan kesengsaraan manusia di muka bumi
Thomas F.X Noble et. al (1994) dalam bukunya Western Civilisation The Continuing Experiment menyatakan, pada zaman tamadun Romawi, kaum wanita ketika remaja dikongkong di bawah penguasaan penjaganya. Samada bapa, datuk dan sebagainya yang berkuasa mutlak dan tidak dihadkan kekuasaanya. Penjaga boleh menghalau wanita keluar dari rumah atau menjualnya dan tiada pembelaan undang-undang ke atas golongan wanita ini. Apabila wanita berkahwin, maka putuslah hubungan keluarga dan kaum kerabatnya dan suaminya pula berhak menentukan corak kehidupan wanita. Menurut The New Encyclopedia Britannica (1992), pada zaman Mesir kuno pula gadis-gadis sentiasa jadi korban kerana ketika itu masyarakat mempunyai keyakinan bahawa sungai Nil dikuasai oleh dewa yang sentiasa inginkan persembahan seorang gadis. Jika tiada korban gadis, sungai Nil tidak akan memberi manfaat atau faedahnya kepada petani-petani Mesir
 Berbanding tamadun lain, masyarakat Mesir ketika itu dikatakan lebih baik kerana memberi sedikit penghormatan kepada wanita dalam hak memilik harta, bekerja dalam kebanyakan sektor ekonomi, melibatkan diri dalam masyarakat dan bercampur dengan lelaki. Pada zaman Jahiliyah Arab sebelum kedatangan Islam, wanita juga dianggap hina. Suami bagi wanita yang hamil anak perempuan akan terlebih dahulu membuat persediaan menggali lubang untuk menguburkan anak perempuan mereka hidup-hidup untuk mengelakkan mendapat malu dan menanggung bebanan hidup dan kemiskinan di kemudian hari. Amalan membunuh anak perempuan hidup-hidup bagi Arab Jahiliyah adalah suatu kebaikan dan anak lelaki adalah satu kebanggaan dan kegembiraan.
Kedatangan Islam telah merubah segala penghinaan, penindasan dan kezaliman yang dilakukan kepada kaum wanita. Islam telah mengangkat martabat wanita, mengembalikan kedudukannya, dimuliakan, dikembalikan haknya yang telah dirampas dan diiktiraf oleh lelaki dalam kehidupan. Wanita juga diberikan kedudukan yang sama sebagai individu dalam masyarakat. Menurut Islam yang membezakan manusia bukan lelaki atau wanita, tetapi ketakwaan kepada Allah Taala.
Menurut Zeeneth Kausar (1995) dalam kertas kerja Women’s Issues: Women’s Perspectives, Islam meletakkan wanita dalam tiga kategori penting mengikut keupayaannya iaitu sebagai ibu, isteri dan anak perempuan. Ibu diletakkan di tempat paling tinggi selepas Allah dan RasulNya. Bagi wanita Islam yang berkahwin, mereka mempunyai hak-hak tersendiri sepanjang perkahwinannya sama seperti lelaki serta masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan terhadap keluarga (ibu, isteri, anak perempuan) dan masyarakat (guru, pengasuh, pemimpin , penasihat, perawat dan lain-lain dalam semua sektor).
Sebagai seorang Islam, wanita perlu mempunyai penghayatan Islam yang jelas dan keimanan yang kukuh supaya dapat dimanifestasikan keimanan dan jiwa Islam itu dalam ibadah, akhlak, pergaulan, pekerjaan dan segala aktiviti dalam kehidupannya. Ini penting supaya wanita tetap menjaga maruah dan kehormatan dirinya dari kaca mata Islam seperti sentiasa menjaga aurat, menjaga tutur kata dalam pergaulan, menjauhkan segala yang mendekatkan diri wanita kepada zina, bersikap positif dan berdaya saing sesuai dengan kesucian dan kemuliaan agama Islam.
            Mungkin anda  wanita yang bukan status isteri atau ibu tunggal, pengalaman berumahtangga anda tidak merasainya. Semua wanita inginkan kebahagiaan terutama dalam rumah tangga. Namun keinginan itu tidak semuanya akan dapat dikecapi oleh semua insan yang bergelar wanita sehingga usia yang lanjut. Pengertian kebahagian adalah luas dan tidak hanya sekadar sebagai surirumah untuk mengharmonikan keluarga. Ada juga wanita yang berstatus sebagai isteri, tetapi tidak mengecapi kebahagian dalam rumah tangga. Mungkin bermasaalah hubungan dengan suami. Berkemungkinan juga kebahagian tidak diperolehi disebabkan masalah anak-anak atau masaalah yang disebabkan keluarga suami atau keluarga sendiri. Manakala wanita yang pernah berumahtangga tetapi kini berstatus sebagai ibu tunggal. Mungkin perceraian disebabkan kematian suami atau perceraian berlaku kerana tidak ada persefahaman dengan bekas suami. Kebahagian yang ingin dicapai, kini musnah sama sekali.
            Apapun status anda sebagai wanita, kebahagian itu bukannya hanya boleh diperolehi dalam rumahtangga semata-mata. Pengertian kebahagian itu adalah luas. Tidak dapat dinafikan, perasaan kecewa terhadap apa yang ingin dicapai tetapi tidak kesampaian. Kecewa tetap kecewa. Adakah kita kecewa akan membiarkan diri kita terus hanyut begitu sahaja disebabkan kekecewaan. Ada yang meratapi kekecewaan sehingga memusnah dan menghancurkan diri sendiri. Sehingga ada yang meratapi kekecewaan dan menyebabkan sakit jiwa. Ada juga yang kecewa dan mengambil keputusan untuk melakukan perkara-perkara yang hina dan melanggar suruhan Allah. Sanggup melakukan perkara-perkara yang menyesatkan dan terjun kelembah kehinaan. Adakah itu penyelesaian kepada wanita yang kecewa sedangkan kebahagian itu adalah terlalu luas.
            Apabila kita gagal dalam mencapai sesuatu atau gagal bagi mengekalkan pencapaian yang ada, kegagalan itu menyebabkan kita merasai kekecewaan. Kenapa kita gagal setelah kita berusaha. Ini adalah disebabkan kita tidak mengetahui perjalanan hidup kita dihadapan. Kehidupan kita ada yang menentukannya iaitu Allah. Kegagalan itu bukan semata-mata gagal begitu sahaja. Kegagalan yang dihadapi itu adalah untuk direnung, difikirkan dan dihayati kenapa ia berlaku. Allah menjadikan kegagalan itu satu rentapan kepada individu tersebut untuk muhasabah diri. Apa yang telah kita lakukan sebelum ini. Adakah kita telah terlanjur disebabkan perbuatan yang lalu. Ada juga kegagalan itu disebabkan Allah ingin memantapkan lagi kekuatan dalaman diri anda.
Apapun punca kegagalan samaada anda mengakui sebabnya atau anda tidak mengetahuinya, anda perlu teruskan kehidupan ini dengan sempurna dengan cara yang sihat. Biarpun kegagalan yang dihadapi itu adalah kegagalan yang kecil atau kegagalan yang terlalu besar. Apa yang perlu anda lakukan adalah dengan bangkit semula biarpun secara merangkak sekalipun. Jangan mudah berputus asa dan hanya berserah kepada takdir. Berusaha, berusaha dan berusaha sambil berdoa kepada Allah. Ramai wanita hari ini yang berjaya dan menjadi hebat, setelah jatuh atau setelah mengalami kegagalan.
Kehidupan itu sebenarnya indah jika kita indahkannya. Pengertian kebahagian itu adalah luas dan kita jangan sempitkannya. Bila kita tidak bermasaalah dari sudut kewangan, kebahagian itu boleh dicari dan kegagalan yang dihadapi akan mudah diredakan dari kekecewaannya. Justeru itu, walaupun duit bukan segala-galanya, tetapi kehidupan hari ini segala-galanya memerlukan duit. Kita bukan untuk menjadi hamba kepada duit. Kita cari duit dan menjadi wanita yang mulia, wanita yang solehah dan wanita yang beriman kepada Allah.
Saya yakin dan percaya, wanita Malaysia akan berjaya dengan cemerlang. Disebabkan itu saya memerah otak untuk memikirkan apa yang perlu untuk wanita lakukan agar wanita Malaysia boleh berjaya. Akhirnya, saya nampak jelas bagaimana untuk membangunkan wanita terutama wanita melayu. Keyakinan inilah yang saya tulis dalam buku ini. Seperti perumpamaan jika hendak memberi wanita makan ikan, kita jangan beri dia ikan tetapi kita ajar bagaimana  untuk menangkap ikan. Sudah tentu wanita semua boleh makan ikan pada bila-bila masa. Jika semua wanita melayu akan melaksanakannya, saya yakin wanita malaysia akan berjaya dan sebagai contoh wanita Negara Islam yang lain. Apa yang saya mahukan adalah anda fahami dengan sebenarnya dan wanita perlu memulakannya. InsyaAllah wanita akan berjaya.

Tunggu.....kaedah yang akan saya berikan.....


0 comments:

Post a Comment

Please leave your email here before you leave this page,thank you...